|
ni banner lame.. |
SERAMAI 100 penyair dan penyanyi lagu rakyat bakal memeriahkan Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2 di Pulau Pangkor pada 17 dan 18 Disember ini.
Pengarahnya, Mohamed Ghozali Abdul Rashid, berkata festival itu bakal menghimpunkan peserta dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Penyair yang bakal mendeklamasikan puisi di Dataran Pangkor ialah Sasterawan Negara (SN), Prof Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah; Penerima Anugerah Penulisan SEA 1995 dan 2010, Suhaimi Muhammad dan Zaen Kasturi, selain penyair dari Brunei Darussalam, Zefri Ariff. “Persembahan lagu puisi dan rakyat disampaikan oleh Siso, Ramli Sarip, Roslan Madun dan Jiji, selain Aceh Pustaka Indatu, Setanggi Timur serta Langkat dari Indonesia; Wayang Gedek (Thailand) dan Grup Lagu Rakyat Orang Asli Tapah, Bah Loth,” katanya dalam kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini.
Mohamed Ghozali berkata, festival itu turut menampilkan tokoh akademik, media dan seni, iaitu Naib Canselor, Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU), Prof Datuk Dr Hashim Yaacob; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib; Pengarang Kumpulan BH/BM, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Datuk Rahim Razali.
“Sempena festival itu juga, kami turut menganjurkan Forum Penyair Sebagai Penyambung Suara Generasi di Dewan Puteri Bayu, Pulau Pangkor, pada 17 Disember yang menampilkan Prof Ahmad Kamal; Zefri, Rahman Shaari dan Zainal Ariffin Aka.
“Keesokannya pula Bicara Buku, Suara Pelaut karya Zambry AK juga diadakan di tempat sama yang menampilkan Prof Madya Dr Abdul Rahman Napiah; Prof Madya Dr Tatiana A Denisova; Prof Dr Sohaimi Aziz dan Mohamed Shahidan,” katanya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, akan merasmikan festival itu dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, akan menyempurnakannya.
Acara anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Yayasan Kampung Karyawan Malim (YKKM) itu, turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU); Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negera Perak, Majlis Perbandaran Manjung dan International Council of Organisations of Folklore and Folk Arts (CIOFF Malaysia).