SILA KLIK DI SINI
Jom Baca
21 November 2010
MALAYSIA TERPAKSA AKUR
THAILAND lebih hebat.
Itulah hakikat yang perlu diterima skuad sepak takraw negara setelah tewas 0-2 kepada Thailand pada final acara berpasukan lelaki Sukan Asia 2010 di Pusat Sukan Haizhu, Guangzhou petang semalam.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara sekadar mengekalkan pingat perak yang dimenangi mereka pada temasya 1998, 2002 dan 2006 tetapi gagal mengulangi kejayaan meraih pingat emas Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun.
Jurulatih, Iskandar Arshad berkata, kesilapan mudah yang dilakukan anak-anak buahnya ketika situasi genting menyebabkan kedua-dua regu negara gagal memenangi pertarungan final itu.
"Regu kita tampak kurang baik ketika bertahan disebabkan corak serangan regu Thailand yang begitu menjadi.
"Tiada kesilapan strategi dalam susunan regu. Kita dah melakukan yang terbaik cuma ternyata regu Thailand lebih baik dan berjaya menekan regu kita," kata Iskandar ketika ditemui selepas perlawanan.
Regu pertama negara yang dibarisi Normanizam Ahmad (tekong), Futra Abd. Ghani (apit kanan) dan Ariff Ramli (apit kiri) tewas kepada Kriangkrai Kaewmian, Anuwat Chaichana dan Pattarapong Yupadee dengan 16-21, 10-21 dalam masa 48 minit.
Set pertama menyaksikan servis Normanizam mampu menyumbang empat mata manakala libasan Futra pula menghasilkan 11 mata tetapi selepas kedudukan terikat 15-15, regu Thailand lebih cemerlang mencari enam mata terakhir.
Pada set kedua, regu Malaysia gagal mengulangi aksi baik seperti set pertama setelah ketinggalan jauh 3-12 sebelum Hafizie Manap masuk menggantikan Ariff ketika kedudukan 7-19 tetapi ia sudah terlewat.
Regu kedua negara yang diwakili Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Norshahruddin Ghani (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) pula tewas kepada Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Suriyan Peachan dengan 15-21, 17-21 dalam masa 48 minit.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment