HASRAT jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menumbangkan Lin Dan di bumi kelahiran pemain China itu tidak kesampaian malam tadi.
Pada aksi final acara perseorangan lelaki Sukan Asia 2010 di Gimnasium Tianhe, Guangzhou, Chong Wei tewas 13-21, 21-15, 10-21 dalam pertarungan sengit selama 72 minit.
Ia sekali gus menyebabkan kontinjen negara kempunan meraih pingat emas keenam setelah dua jaguh skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan Mohamad Azlan Iskandar menghadiahkan dua emas dalam acara masing-masing.
Bagi Chong Wei, kekalahan tersebut menyebabkan dia gagal mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia kedua berjaya memena- ngi pingat emas acara itu setelah Datuk Punch Gunalan melakukannya pada 1970.
Chong Wei ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat malam tadi berkata, ketika ketinggalan jauh pada awal set ketiga, ia telah meragut impiannya untuk mencipta kemenangan.
"Saya sudah cuba yang terbaik tetapi pada set ketiga, Lin Dan berjaya mematikan permainan saya lebih awal apabila dia sudah mendahului dengan selesa.
"Saya paksa diri untuk kejar semula pungutan mata tetapi semuanya tidak menjadi. Apa pun saya patut rasa puas hati dengan pencapaian pingat perak ini.
"Dengan kecederaan belakang yang dialami sebelum ini, tempoh latihan saya sedikit terganggu dan kekjayaan mara sehingga final Sukan Asia ini sudah boleh dianggap terbaik," katanya.
Setelah tewas set pertama dalam masa 27 minit, Chong Wei bangkit memenangi set kedua dalam masa 20 minit.
Namun, Lin Dan nyata lebih hebat apabila berjaya mengungguli set ketiga sebelum menamatkannya dalam tempoh 25 minit.
Tambah Chong Wei: "Untuk Sukan Asia 2014, saya tak pasti akan main lagi atau tidak. Mungkin saya akan beri peluang kepada pemain junior untuk beraksi."
Di Doha empat tahun lalu, Chong Wei hanya meraih pingat gangsa setelah tewas kepada jaguh Indonesia, Taufik Hidayat pada separuh akhir.
Buat Lin Dan pula, pingat emas yang dimenanginya malam tadi berjaya mengubat kekecewaan tewas kepada Taufik pada aksi final Sukan Asia 2006.
Secara keseluruhannya, skuad badminton negara kali ini gagal menyumbangkan sebarang pingat emas pada Sukan Asia 2010 dan sasaran dua emas gagal dicapai.
Mereka hanya berpuas hati dengan dua perak yang diperoleh menerusi Chong Wei (perseorangan lelaki) dan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki.
Untuk menambahkan lagi derita skuad badminton negara, mereka turut kecundang dalam acara berpasukan.
*kosmo
No comments:
Post a Comment