BERAKSI di tempat lawan malam ini sememangnya sudah memberi banyak kelebihan buat pasukan bola sepak Malaysia untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010 buat julung kalinya.
Namun, skuad kendalian K Rajagobal itu tidak harus mendabik dada kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh permainan 90 minit.
Berhadapan puluhan ribu penyokong fanatik Indonesia, barisan Harimau Malaya perlu mempertahankan bekalan tiga gol dan memastikan gawang Malaysia tidak dirobek seperti mana ketika pertemuan pertama pada peringkat kumpulan lalu.
Jangan terlalu gopoh. Silap langkah, yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran!
Mereka perlu mematuhi arahan jurulatih bagi memastikan perancangan yang diatur berkesan dalam menghalang kebangkitan Sang Garuda itu.
Dalam masa sama, barisan negara tidak harus bermain sambil lewa meski pun mendahului dengan defisit yang besar. Jika tidak, nescaya perkara tersebut akan menjadi penghalang buat mereka untuk mencatatkan kejayaan terakhir bagi 2010.
Seperti biasa, ketahanan mental pemain memainkan peranan penting kerana aspek ini sering dijadikan antara elemen tertinggi dalam senarai punca kekalahan atlet negara yang gagal mempamerkan aksi terbaik.
Mengimbas permainan pada aksi akhir pertama Ahad lalu, pemain negara juga perlu beringat tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pemain atau penyokong Indonesia di dalam mahupun di luar padang dan seharusnya bertindak rasional ketika bertarung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta nanti.
No comments:
Post a Comment