SILA KLIK DI SINI
Jom Baca
23 April 2012
Demonstrasi Berjemaah Subuh Dahulu
Terfikirkah kita, pada tahun 80’an pernah berlaku sebuah demonstrasi di negara berakibat dari terjadinya satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang menjemput tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu bangun melancarkan demonstrasi. Para pemimpin pelajar telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat berlakunya protes dan tunjuk perasaan.
Tiba-tiba keesokan harinya, sewaktu matahari sedang terpacak di langit yang paling tengah, - si fulan - masih tidur lagi malah belum solat subuh pula. Berhasilkah natijah demonstrasi semalam dengan melesukan diri dari perkara yang paling utama, paling wajib iaitu solat Subuh berjemaah. Sedangkan, sewaktu semangat sedang memuncak, bagaikan saat itu semua orang telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin bagi melancarkan jihad.
Ke mana perginya semangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram.
Juga terfikirkah kita, pada tahun 90'an, sebuah demonstrasi rakyat Malaysia pernah berlaku akibat dari seorang bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, tokoh negara, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan jawatan kerana tuduhan-tuduhan yang tidak berasas, tidak adil. Termasuklah tragedi yang menimpa kepada Al Marhum Dato' Ishak Baharom, Mufti Selangor yang sangat kita sanjungi kerana keberanian dan tindakan wajarnya. Negara waktu itu kembali bergegar dengan laungan reformasi, jeritan bebaskan sistem kehakiman di Malaysia, pulihkan demokrasi, hormati institusi ulama' dan sebagainya. Demonstrasi itu tidak salah, tetapi wajarkah pada keesokan harinya, kita tertinggal waktu Subuh berjemaah? Lantaran kepenatan semalaman menjerit dan berteriakan.
Ke mana perginya semangat berkobar-kobar semalam? Tiada lagi jeritan BEBAS dari keempukan bantal yang diperhambakan. Tiada lagi laungan supaya menghormati nasihat dan pesan ulama yang kita sanjungi itu. Adilkah kita dengan kewajipan yang khusus Allah letakkan kepada diri kita? Terlunaskah demokrasi yang sewajibnya kita lakukan terhadap diri kita dahulu?
Dan terfikirkah kita, 2-3 tahun sebelum ini kita pernah marah dan melonjakkan perasaan tersebut di demonstrasi jalanan. Kita berteriak dengan perkataan hancur dan jahannam Israel!! Disebabkan kekejaman mereka. Kezaliman Levni dan Olmert menghancur-luluh penduduk yang sah menghuni di Palestin. Bendera Israel dipijak-pijak, dibakar-bakar, dikoyak-koyak menjadi perca kain yang bertaburan. Tetapi malangnya, pada keesokan hari kita masih terkandas Subuh berjemaah.
Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian?
Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.
Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan, selimut kejam yang menghalang kita dari bangun untuk solat Subuh berjemaah.
Tidak salah bertakbir sakan bagi menunjukkan kekuatan yang bersama kita menghadapi musuh Islam, menyatakan yang hak ditengah-tengah umat supaya mereka berjaga-jaga dari bahayanya. Tetapi alangkah baiknya jika suara itu juga digunakan untuk bertakbiratul Ihram dalam saff bersama imam, yakni solat Subuh secara berjemaah.
Mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah?
Mampukah orang yang tega meninggalkan solat subuh berdepan dengan musuh yang berselindung membenci agama Allah (mnafiq), jika kita sendiri masih berselindung di lipatan-lipatan selimut yang berkerak-kerak?
Marilah kita renungi dua hadis ini, pesanan untuk diri ini terutamanya :
1). Rasulullah SAW telah bersabda : “Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh” (HR Muslim).
2). Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak” (HR Ahmad dan An Nasa’ie) - TARBAWI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment