SILA KLIK DI SINI

Jom Baca

19 November 2013

PAS relevan untuk masyarakat majmuk

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan bahawa PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam yang membawa kesejahteraan dan keharmonian kepada masyarakat majmuk di negara ini tanpa mengira perbezaan warna kulit dan agama.

Beliau menegaskan demikian sebagai respons kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini yang dilaporkan menyaran agar parti-parti yang berasaskan agama tidak sesuai wujud di negara ini.

Menurut beliau lagi, sekiranya pemimpin itu memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, pasti beliau tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Katanya, ini adalah kerana perjuangan PAS adalah perjuangan Islam seperti mana yang yang termaktub di dalam Al Quran dan Hadis dan Allah menegaskan di dalam Al Quran, yang bermaksud: Kami tidak utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam.

Tegasnya, perjuangan PAS membawa obor keadilan dan keejahteraan kepada seluruh bangsa dan agama di negara kita ini.

Tegas beliau lagi, keadilan dan kesejahteraan yang dibawa oleh Islam kepada seluruh bangsa umat manusia bukan suatu retorik bahkan ianya telah dibuktikan sejak zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w dan kemudiannya diteruskan oleh Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahan-pemerintahan selepas itu.

Tambahnya, ahli sejarah dan ilmuan telah mengiktiraf betapa adilnya Islam kepada seluruh bangsa manusia ketika diberikan peluang mentadbir dunia dengan telunjuk Al Quran dan Sunnah.

Beliau menegaskan lagi, PAS sejak awal penubuhannya lagi sentiasa menggalakkan perdamaian antara pelbagai bangsa dan agama sekali gus menolak pergolakan dan ketidakstabilan yang bertentangan dengan keharmonian sesebuah negara.

Justeru, beliau menolak dakwaan pemimpin tersebut kononnya parti yang berasaskan agama seperti PAS dikatakan tidak sesuai diamalkan di negara ini.

"Apa yang tidak sesuainya? Parti PAS tidak membahayakan sesiapa. PAS adalah sebuah parti yang berasaskan Islam yang membawa kesejahteraan untuk menyatupadukan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.

Malah, kata beliau sebelum datangnya Islam, manusia dalam keadaan berpuak-puak dan berpecah belah, sehinggalah Allah s.w.t menurunkan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang akhirnya berjaya menyatukan umat manusia di bawah panji Islam.

"Inilah hakikat perjuangan PAS dan tidak benar sama sekali tuduhan yang menyatakan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak sesuai dinegara ini," jelas beliau lagi.

Beliau turut menyarankan agar pemimpin tersebut supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berkaitan dengan agama Islam yang merupakan perjuangan tertinggi PAS.

No comments:

Story

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...