MILAN - Jurulatih AC Milan, Massimiliano Allegri (gambar) melancarkan perang psikologi menjelang aksi kalah mati kedua Liga Juara-Juara menentang Arsenal di Stadium Emirates awal pagi esok. Ketika ini, Milan seolah-olah sudah 'sebelah kaki' melayakkan diri ke suku akhir selepas membelasah skuad The Gunners 4-0 di San Siro pada pertemuan pertama bulan lalu.
Allegri yakin, kemarau trofi skuad bimbingan Arsene Wenger akan berterusan selagi mereka tidak menandatangani beberapa pemain terbaik dunia. Meskipun secara terbuka menyokong kredibiliti Wenger, Allegri kurang bersetuju dengan polisi kelab London itu berhubung pembelian pemain baharu.
"Sukar untuk menjulang mana-mana trofi, terutamanya di pentas Eropah tanpa kehadiran pemain terkemuka.
"Bukan sahaja Arsenal, Milan dan mana-mana kelab turut berdepan kesukaran yang sama tanpa kehadiran pemain tersebut.
"Pasukan yang ingin menjulang kejuaraan memerlukan pemain yang berkebolehan sebagai pemimpin. Milan sendiri memiliki pemain seperti itu termasuk Zlatan Ibrahimovic, Rino Gattuso, Mark van Bommel dan Thiago Silva," katanya.
Allegri yang mula mengendalikan Milan dua tahun lepas memberitahu: "Tidak adil untuk menyalahkan Wenger atas apa yang berlaku kepada Arsenal ketika ini."Bagi saya, Wenger adalah individu yang hebat dan ia dapat dibuktikan apabila pasukan itu antara pencabar utama dalam kempen Liga Perdana England meskipun telah menjual satu atau dua pemain terkemuka.
"Cuma bagi saya, Arsenal perlu segera membeli pemain yang hebat serta mengekalkan pemain sedia ada jika berhasrat untuk menjulang trofi."Saya sendiri tidak akan menjual Ibrahimovic kepada mana-mana pasukan kerana saya tahu dia pemain yang mampu memberikan impak yang cukup besar buat AC Milan." - AGENSI
1 comment:
peluang arsenal nampak tipis tapi semua bergantung kepada 1st half nanti..kalau clean sheet dan arsenal dapat lead 2-0 dah tentu 2nd half akan jadi lebih menarik..hehehe
Regards,
-Strider-
Post a Comment